[Trending Now] Lahir Di Udara


LOS ANGELES: Sebuah pesawat China Airlines mendarat di Alaska dengan penumpang tambahan apabila seorang wanita melahirkan anak perempuan dalam penerbangan, lebih lapan minggu awal daripada jangkaan.
Penerbangan 19 jam dari Bali ke Los Angeles itu terpaksa membuat pendaratan kecemasan kelmarin apabila penumpang warga Taiwan itu pecah air ketuban enam jam selepas berlepas.
Seorang doktor, Angelica Zen yang kebetulan menaiki penerbangan berkenaan membantu melahirkan bayi itu 30,000 kaki di udara selepas anak kapal meminta bantuan penumpang.
Angelica mengaku tidak terlatih dalam bidang obstetrik, tetapi tidak teragak-agak menghulurkan bantuan dalam kejadian itu.
Pada masa sama, juruterbang memaklumkan syarikat penerbangan dan meminta izin mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Ted Stevens Anchorage di Alaska.
Bagaimanapun, 30 minit sebelum mendarat wanita itu melahirkan anaknya sambil diiringi tepukan gemuruh penumpang lain sebaik mendengar tangisan pertama bayi berkenaan.
Dalam video dirakam seorang wanita dalam penerbangan itu, pramugari dapat dilihat memegang bayi itu dan mengelap badannya menggunakan tisu sebelum menyelimutkannya dan ibunya dengan selimut besar.
Penumpang itu didengar berkata: “Ini pengalaman seumur hidup. Semua pelancong ini tidak mungkin mengalami kejadian seperti ini lagi.”
Sebaik mendarat di Alaska wanita itu yang terbang berseorangan dibawa ke hospital tempatan bersama anaknya. Kedua-duanya dilaporkan sihat.
Pesawat itu mengisi minyak selepas mendarat dan tiba di Los Angeles tiga jam lewat.
China Post melaporkan, Pentadbiran Aeronautik Awam mengesahkan kerakyatan bayi itu adalah berdasarkan sijil beranak dikeluarkan hospital di Anchorage kerana dia dilahirkan di dalam ruang udara Amerika Syarikat di atas pesawat Republik China.
Pada Rabu minggu lalu seorang lagi wanita, Heba Majdy melahirkan anak perempuan, Nancy 30,000 di udara di atas pesawat Jazeera Airways ke Mesir.
Wanita itu yang hamil lapan bulan sempat memberitahu penumpang dia mahu bersalin sebelum melahirkan anak dengan bantuan doktor yang kebetulan berada di atas pesawat itu.
Daily News Egypt melaporkan, syarikat penerbangan itu menghubungi Heba tidak lama kemudian dan menawarkan penerbangan percuma untuk Nancy sehingga berusia 18 tahun.


--
Posted By Blogger to Trending Now at 10/17/2015 01:33:00 PM

0 comments:

Post a Comment

Random Post